Juruterbang maut sejurus tiba di hospital – Ka Siong

0
2

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjelaskan juruterbang helikopter Eurocopter EC120B yang dilaporkan hilang semalam, meninggal dunia sejurus tiba di hospital bagi mendapatkan rawatan.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan dalam hantaran video di Facebooknya bagi menjelaskan kenyataannya pagi tadi yang melaporkan juruterbang berkenaan terselamat. 

Ka Siong berkata, keadaan itu berlaku kerana beliau menerima laporan awal mangsa masih hidup ketika ditemui di lokasi nahas helikopter di Kampung Kenangan, Bidor, Perak, jam 8.18 pagi tadi.

“Ketika dijumpai mangsa masih lagi hidup tetapi cedera parah pada jam 8.18 pagi. 

“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri semasa pasukan penyelamat sedang menguruskan dalam misi menyelamat tersebut,” katanya.

Justeru, Ka Siong berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) sedang menunggu pengesahan daripada hospital mengenai punca kematian.

“Ia satu berita yang menyedihkan. Saya bagi pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengucpkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan juruterbang helikopter Eurocopter EC120B yang dilaporkan hilang dari radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang semalam disahkan maut oleh pihak berkuasa.

Mangsa dikenali sebagai Kapten Zee Khin Richard Chan, 58, merupakan warga negara Hong Kong ditemui pasukan penyelamat sekitar jam 9.30 pagi tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here