PH ubah Pulau Pinang dari ‘darul sampah’ ke ‘Pulau Mutiara’ tulen – Anthony

0
2

DAP menfokuskan kepada dua naratif bagi menyakinkan pengundi di Pulau Pinang untuk terus menyokong Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata pertamanya memastikan transformasi Pulau Pinang dari negeri ‘darul sampah’ semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) kepada ‘Pulau Mutiara’ yang tulen pada masa kini dikekalkan sejak PH diberi mandat oleh rakyat Pulau Pinang pada 2008.

“Kita perlu berkempen secara positif dengan kejayaan dan pencapaian kita dalam pelbagai aspek sama ada dari segi pengurusan kewangan yang berhemah dan bersih, pelaksanaan pelbagai dasar kebajikan rakyat.

“…pengurusan ekonomi negeri, pencapaian pelaburan asing yang konsisten antara lima negeri tertinggi sehinggalah menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan yang paling menarik di Malaysia!

“Ini adalah kejayaan pentadbiran kita yang boleh menyakinkan rakyat untuk terus memberi mandat kepada PH untuk penggal keempat di Pulau Pinang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anthony berkata, keduanya DAP mesti meyakinkan rakyat bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan penamat tetapi satu proses reformasi negara.

Katanya, tanpa perubahan pada 2018 tidak mungkin seorang Perdana Menteri yang dilabel klektokrat dapat dijatuhkan melalui sistem demokrasi dan dihadapkan ke muka pengadilan serta dipenjarakan.

“Misi untuk reformasi dan pembaharuan negara masih memerlukan banyak usaha. Kita perlu bertekad untuk mengembalikan tampuk pemerintahan negara untuk merealisasikan reformasi yang diimpikan.

“Saya menaruh harapan yang tinggi terhadap kepimpinan DAP Pulau Pinang dan meletakkan sasaran untuk memenangi semua kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di Pulau Pinang dalam PRU15 kelak,” katanya.

Sementara itu, beliau juga telah melancarkan Jentera Pilihan raya DAP Pulau Pinang bagi menghadapi PRU15 di The Top KOMTAR, Pulau Pinang semalam.

Tambahnya, wakil dari setiap kawasan Parlimen yang hadir di majlis tersebut cukup bersemangat untuk berjuang dalam kempen pilihan raya yang mungkin diadakan bila-bila masa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here