KELIBAT penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva telah mencuri tumpuan peminat bolasepak tanah air apabila tampil dengan gaya rambut berwarna biru.
Ternyata gaya baru rambutnya itu membawa tuah apabila berjaya menyumbat dua gol dalam aksi final Piala FA edisi 2022 menentang Terengganu, malam tadi.
Menurut Bergson, elemen kejutan yang ditampilkan itu kerana menuruti arahan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut gemar dengan warna biru.
“Bos suruh saya warnakan rambut kerana dia suka warna ini. Saya juga sukakannya. Terpulang kalau bos mahu saya kekalkan warna rambut ini, saya tiada masalah dengan itu. Mungkin selepas ini, saya akan warnakan putih, saya akan telefon awak,” katanya dipetik Flash Sukan.
Bergson turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada TMJ atas kesanggupannya memberi segala-galanya kepada pemain dan ianya telah dibuktikan dengan kejayaan pasukan menjulang Piala FA pada edisi kali ini.
“Kita tahu betapa penting permainan hari ini (malam tadi). Hubungan kami juga penting kerana bos memberikan segalanya. Baginda memberi kita segalanya. Tunku inginkan yang terbaik. Kita bersyukur kepadanya kerana kelab ini besar dan semestinya mahukan pulangan,” katanya.
Bergson menjelaskan, kemenangan 3-1 dalam aksi akhir di Stadium Bukit Jalil itu tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata kerana ia merupakan suatu malam yang dinikmati seluruh pemain Harimau Selatan.
Katanya, keakraban mereka bersama pasukan sudah seperti sebuah keluarga besar yang saling memberi sokongan antara satu sama lain demi kemajuan bola sepak di selatan tanah air itu.
“Emosi saya hari ini (semalam) tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Kita tahu ia sangat penting bagi kami. Kita seperti satu keluarga, kita main bersama, kita raikan bersama,” katanya. – Malaysiapost

