POLIS sudah selesai merakam keterangan seorang YouTuber berhubung pendedahan seorang pelakon remaja perempuan berusia 15 tahun, diganggu secara seksual oleh bapanya yang disiarkan melalui saluran YouTube, Bros Gang TV.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata YouTuber berkenaan sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk membantu siasatan kes berkenaan.
“Kita rakam keterangan individu dari Bros Gang TV sebagai pihak yang menemu bual mangsa (di saluran YouTube)
“Kita juga sudah selesai merakam keterangan semua saksi yang terbabit dalam siasatan kes ini, termasuk mangsa serta ibunya dan juga seorang pegawai perubatan,” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Rabu lalu, Wan Azlan memaklumkan polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga bapa kandung kepada pelakon remaja terbabit di Kedah untuk membantu siasatan.
Suspek ditahan di kediamannya di Kedah, pada jam 2.25 petang Selasa lalu, sebelum dibawa ke IPD Subang Jaya.
Katanya, suspek disiasat berhubung kes serangan seksual, pengabaian kanak-kanak serta memiliki bahan lucah.
Wan Azlan berkata, suspek direman tujuh hari sehingga esok untuk siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah.
Terdahulu, Wan Azlan dalam kenyataan, memaklumkan pihaknya menerima satu laporan polis daripada pelakon remaja berusia 15 tahun itu pada jam 10.55 malam, pada 5 September lalu.
Katanya, pelakon remaja itu dalam laporan polisnya menyatakan dia diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya serta tidak menjaga kebajikannya.
Dalam pada itu, media melaporkan Bros Gang TV memaklumkan pendedahan pelakon remaja berkenaan di luar jangkaan pihaknya.
Bros Gang TV turut menegaskan pihaknya sudah mendapat persetujuan daripada pelakon terbabit, sebelum memuat naik video berkenaan.
Ini susulan kenyataan Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Datuk Dr Raj Karim yang menyifatkan perbuatan menyiarkan video berkenaan suatu bentuk eksploitasi seksual dan pihak berkaitan perlu diambil tindakan. – Malaysiapost

