Kenaikan Elaun Sara Hidup pelajar MARA berpatutan

0
2

KEPIMPINAN Badan Perhubungan Negara United Kingdom Dan Eire (BPN UKE) yakin tuntutan untuk menstruktur semula elaun sara hidup bagi pelajar tajaan MARA-JPA adalah berpatutan.

BPN UKE dalam kenyataan hari ini berkata, ini selari keperluan penstrukturan semula elaun sara hidup bagi pelajar tajaan MARA-JPA yang hampir 12 tahun tidak dikaji kesesuaiannya mengikut cabaran ekonomi dunia, terutama dalam tempoh pasca Covid-19.

Menurutnya, tuntutan itu merupakan usaha secara berperingkat dan konsisten yang diberikan oleh pihaknya dengan kerjasama JPA-MARA Special Operations (JMSO), yang kini berjaya membuahkan hasil apabila mendapat tindakan susulan dan penerimaan positif daripada pemegang taruh berkepentingan di Malaysia.

“Setelah mengambil penelitian dan kajian yang rapi berkenaan tuntutan untuk menstrukturkan semula elaun sara hidup bagi pelajar tajaan MARA-JPA, pihak kerajaan kini telah mengumumkan kadar kenaikan bagi elaun sara hidup pelajar tajaan MARA-JPA bersesuaian dengan kos dan perbelanjaan sara hidup yang semakin tinggi di United Kingdom secara spesifiknya.

“Manfaat daripada perjuangan ini bukan hanya dinikmati oleh pelajar Malaysia di luar negara sahaja, tetapi juga pelajar Malaysia di dalam negara yang menerima biasiswa tajaan MARA-JPA,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, kepimpinan BPN UKE juga menyatakan dokongan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap inisiatif murni yang diambil kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, hasil positif ini juga tidak dinafikan adalah dengan kerjasama jitu dan komitmen tinggi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.

“Jelas, kerajaan menunjukkan kepekaan dan perhatian yang mendalam bagi memastikan kebajikan pelajar tajaan MARA-JPA di Malaysia mahupun di luar negara terus terjamin.

“Sesungguhnya, erti dan nilai sesebuah perjuangan itu bukan terletak pada pejuangnya tetapi pada impak dan manfaatnya.

“Perjuangan ini adalah perjuangan kita bersama, merentasi sempadan kepercayaan politik mahupun kepentingan organisasi demi manfaat bersama.”

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar dalam dan luar negara tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang berkuat kuasa serta merta.

Beliau berkata, kadar baharu ESH bagi pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah dan profesional.

Bagi pelajar luar negara pula, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here