Gangguan air: 92 peratus sudah dapat bekalan

0
2

Fitri Nizam

PROSES pemulihan bekalan air di 274 kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan tidak berjadual sejak 4 Oktober lalu, sudah mencapai 92 peratus.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri, berkata sehingga jam 6 pagi tadi, sejumlah 251 kawasan sudah mendapat bekalan air sepenuhnya.

Katanya, wilayah Purajaya/Sepang dilaporkan sudah pulih sepenuhnya.

“Tiga wilayah lagi iatu Petaling berada pada tahap 85 peratus, Hulu Langat (88 peratus) manakala Kuala Langat (86 peratus).

“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memastikan 23 kawasan yang masih lagi dalam proses pemulihan di daerah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Langat mendapat bekalan air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya amat menghargai kerjasama pengguna yang telah menggunakan air secara berhemah dan memastikan proses pemulihan berjalan dengan lancar malah lebih baik daripada yang dijadualkan.

Sebelum ini, media melaporkan aktiviti pencucian secara besar-besaran di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam serta Kawasan Perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan, disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Susulan itu, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sejak jam 4.30 petang, 4 Oktober lalu. -Malaysiapost