Langgar syarat lesen, dua bot ditahan

0
2

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kurau menahan dua bot kenka kerana melanggar syarat lesen di kedudukan 7.7 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau, Perak semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid, berkata semasa rondaan rutin, pasukan operasi Maritim Malaysia mengesan dua bot sedang menunda pukat dan melakukan pemeriksaan, pada jam 11.05 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot terbabit menemukan, lima kru nelayan tempatan termasuk tekong berumur antara 49 hingga 68 tahun.

“Berdasarkan pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, pasangan bot kenka terbabit bukanlah pasangan seperti yang dinyatakan dalam lesen dan bot terbabit tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohd Najhan berkata, bot terbabit turut menarik pukat di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen,” katanya.

Beliau menasihatkan komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut demi kesejahteraan serta keselamatan bersama.

“Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 yang atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here