Kertas siasatan Hakim Nazlan ada di SPRM – Azam Baki

0
2
PUTRAJAYA, 21 Jun -- Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata SPRM akan menubuh satu pasukan khas bagi menyiasat semua aset-aset luar negara yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa sidang media di ibu pejabat SPRM hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHAR.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Ghazali ada bersama pihaknya.

Beliau berkata, itu adalah perkara biasa untuk kertas siasatan diserah dan dikembalikan semula antara SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Mungkin kenyataan Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) itu ringkas. Mungkin dia maksudkan kertas siasatan bukan di tangannya. Tetapi ia sebenarnya telah diserahkan kepadanya dan diserahkan semula kepada kami untuk tindakan selanjutnya.

“Dari perspektif kami, kami berpendapat bahawa kami telah menyelesaikan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada mereka.

“Biasalah kertas itu berulang-alik. Jadi sekarang kertas siasatan itu bersama pegawai saya untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Idrus berkata kertas siasatan tersebut tidak berada di jabatannya dan perkara itu mencetuskan tanda tanya banyak pihak mengenai perkembangan siasatannya.

Perkara itu mula diketahui umum selepas penulis blog Raja Petra Kamarudin mendedahkan dokumen yang didakwa disediakan SPRM mengenai siasatan terhadap Mohd Nazlan yang telah siap sepenuhnya.

Susulan itu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa SPRM mengesahkan kesahihan dokumen tersebut.

Idrus bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat mengesahkan kesahihannya kerana kertas siasatan tidak ada bersamanya.

Mohd Nazlan merupakan Hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah menyeleweng dana SRC International.

Dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan, Najib berhujah bahawa Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang serius ketika menghakimi perbicaraan itu.

Bagaimanapun, lima panel kehakiman Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib dan mengekalkan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here