MALAYSIA berjaya mengekalkan tempat teratas bagi tempoh sembilan tahun berturut-turut dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kejayaan mengatasi pencapaian 81 negara lain itu terkandung dalam laporan ‘State of the Global Islamic Economy 2022’.
Menurutnya, penilaian dibuat adalah berlandaskan inisiatif digitalisasi ekonomi, pembangunan infrastruktur halal dan peningkatan fokus kerajaan terhadap sekuriti makanan dan penjagaan kesihatan.
“Petunjuk Ekonomi Islam Global ini turut meramalkan bahawa pasaran halal akan berkembang daripada RM8.8 trilion (USD2.09 trilion) seperti yang dilaporkan tahun lepas kepada hampir RM14 trilion (USD3.27 trilion) menjelang 2028.
“Konflik geopolitik serta sekatan perjalanan yang masih dikuatkuasakan di negara-negara tertentu telah mengganggu pengeluaran dan seterusnya mengakibatkan kelewatan penghantaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-18 (MIHAS 2022) hari ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antrabangsa (MITEC) Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri berkata, impak luar dijangka hanya bersifat sementara kerana terdapatnya peningkatan permintaan produk halal oleh komuniti antarabangsa dan juga peningkatan sektor e-Dagang yang didorong oleh digitalisasi.
“Justeru, operasi perniagaan pada masa kini perlu dijalankan dengan menggunakan kaedah dan pendekatan terkini. Ianya adalah suatu kemestian dan bukan lagi satu pilihan.
“Transformasi dan kepelbagaian dalam industri halal membolehkan perdagangan menjadi lebih berdaya saing dan seterusnya membantu memulihkan ekonomi,” katanya.
Ismail Sabri menegaskan, dalam usaha mempromosikan halal penting untuk menangani sebarang isu yang berkait dengan jaminan halal, yang berisiko merosakkan imej halal yang diusahakan selama ini.
“Jaminan halal yang saya maksudkan ini merujuk kepada keyakinan pengguna, penyeragaman, pensijilan dan akreditasi.
“Pengesahan dan piawaian produk Halal Malaysia bermula pada 1974 apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diberi mandat menyediakan surat akuan pengesahan Halal kepada produk yang mematuhi keperluan Syariah,” katanya.
Beliau berkata, kini, lebih 8,000 syarikat di Malaysia diiktiraf halal, di mana lebih 20 peratus daripadanya adalah syarikat pengeksport dan JAKIM turut bekerjasama dengan badan pensijilan halal dari pelbagai negara untuk keseragaman piawaian.

Selain itu, menurutnya antara inisiatif untuk memudahkan pertumbuhan industri Halal Malaysia ialah penubuhan ‘Halal Malaysia Industrial Parks’.
“Ia merupakan Hab Halal dunia terbesar meliputi kawasan seluas 200,000 ekar di 14 Taman Halal strategik yang telah menerima status Halal Malaysia (HALMAS) daripada HDC,” katanya. – Malaysiapost

