PENYANYI terkenal jolokan Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Menurut anaknya, Ahmad Zaini, penyanyi berusia 84 tahun itu dimasukkan ke Hospital Teluk Intan, Perak pada malam tadi selepas mengalami masalah paru-paru berair.
Menurutnya, sehingga kini keadaan bapanya tidak menunjukkan perubahan positif.
Ahmad Zaini menjelaskan, ketika sampai di hospital, pasukan perubatan turut melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada bapanya selepas jantungnya terhenti buat seketika.
“Pada pukul 2 pagi (Khamis), doktor mengesahkan ayah kritikal kerana paru-paru berair.
“Kami juga telah memberi kebenaran kepada pihak hospital untuk melakukan CPR dan memasukkan tiub bantuan pernafasan selepas jantungnya terhenti seketika.
“Keadaan ayah sekarang tidak banyak berubah tetapi doktor beritahu air dalam badannya telah banyak keluar melalui saluran kencing,” katanya dipetik mStar, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zaini berkata, bapanya itu telah dibawa ke sebuah klinik berhampiran kediaman mereka di Bagan Datuk, Perak selepas mengadu sesak nafas.
Untuk rekod, penyanyi lagu Cek Mek Molek itu sebelum ini pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lalu. – Malaysiapost

