PEGUAMBELA Hamidi Mohd Noh berhujah bahawa dana yang didakwa dibayar kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya tidak wujud ekoran dua saksi penting bagi menunjukkan aliran wang tunai tidak dipanggil.
Hamidi berhujah, bahawa pihak pembelaan sebelum ini ditawarkan dua saksi iaitu pengurup wang, Subra dan Harun yang didakwa menguruskan kemasukan tunai dari Hong Kong berdasarkan keterangan saksi ke-17 David Tan.
Katanya, ketiadaan dua saksi dan tiada penyata daripada Valiant Corporation untuk mengesahkan aliran tunai daripada Bank Pesisir di Labuan menyebabkan aliran tunai tidak dapat disahkan sekaligus membawa maksud tunai berkenaan tidak wujud.
“Wang tidak wujud, bermakna tiada pemberian, tiada pemberian bermakna tiada penerimaan… Tiada penerimaan bermakna tiada anggapan bahawa kes Seksyen 50 Akta SPRM berlaku.
“Pihak pendakwaan menawarkan kepada kami Subra dan Harun sebagai saksi…Kami berpendapat beban adalah kepada pihak pendakwaan untuk mengesahkan wujud tunai, wujud aliran. Kemukakan ‘statement’ (penyata) sebab mereka ini mesti ada akaun bank. Tiada juga wakil bank dipanggil untuk buat pengesahan.
“Saya katakan mereka ini tidak dipanggil oleh pendakwaan kerana ia tidak memihak kepada mereka,”katanya hari ini.
Beliau berhujah ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.
Hamidi sebelum itu berhujah bahawa saksi-saksi dari Hong Kong yang menjadi sumber tunai yang dibawa masuk juga tidak dipanggil untuk mengesahkan niat pembayaran dibuat dan pembayaran itu wujud.- Malaysiapost

