PH tak boleh lupa kepahitan parti tumpang kekuatannya

0
2

PAKATAN Harapan (PH) menarik nafas lega akhirnya parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengakui blok pembangkang itu merupakan gabungan terbaik untuk rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Bagaimanapun Naib Ketua AMK Prasanth Kumar Brakasam berkata, PH bukan jalan pintas untuk mana-mana parti yang mahu menyertai gabungan itu memperolehi keselesaan. 

“Kini, kami bersyukur akhirnya parti MUDA mengakui bahawa Pakatan Harapan merupakan pilihan gabungan yang terbaik untuk rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-15.

“Dalam masa yang sama, apabila sesuatu parti politik yang bersedia untuk berada dibawah payung Pakatan Harapan akan memberi makna untuk menerima prinsip kerja kolektif dan keutamaan dalam mengangkat suara rakyat, bukan kepentingan mana-mana parti atau individu.

“Jelaslah bahawa Pakatan Harapan bukan jalan pintas untuk memperolehi keselesaan. Setiap parti komponen dalam Pakatan Harapan perlu memberi nilai tambah dalam memperkukuh gabungan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mengenai hasrat MUDA menyertai PH, Prasanth berkata, perkara itu akan diserahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan PH untuk menentukannya. 

“Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan tidak boleh melupakan pengalaman pahit yang dilalui sebelum ini ketika ada parti dan individu yang menumpang kekuatan Pakatan Harapan dan kemudiannya khianat selepas menang dalam PRU yang ke-14.

“Untuk merumuskan, berhubung hasrat MUDA dan presidennya, Saudara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ingin menyertai gabungan Pakatan Harapan, kami percaya kepimpinan Keadilan dan Pakatan Harapan akan membuat pertimbangan yang wajar dan terbaik,” katanya. 

Terdahulu, Syed Saddiq yang merupakan Presiden MUDA berkata, pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung perkara itu.

Menurutnya, perbincangan secara tidak rasmi bagi penyertaan Muda dalam PH telah dilakukan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here