Kapal pasir dikendali warga asing ditahan kerana berlabuh di kawasan larangan

0
2

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal pasir yang berlabuh di kawasan tidak dibenarkan kira-kira 0.5 batu nautika timur laut Sungai Kembung, Pulau Indah Selangor, Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar, berkata kapal berkenaan ditahan jam 2.30 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rutin Op Ehsan di perairan Selangor.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kapal itu telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh di kawasan larangan dan gagal memaklumkannya kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Pemeriksaan awal mendapati, kapal itu dikendalikan oleh sembilan kru warga Indonesia dan seorang warga China yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Namun, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal tersebut iaitu nakhoda dan penolong jurutera kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas sebarang salah laku undang-undang di laut dan tindakan tegas akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara terpelihara.

“Kepada pengusaha kapal atau pemilik, Maritim Malaysia menasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mematuhi peraturan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

“Sebarang aduan atau maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – Malaysiapost
.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here