Peranan Umno sebagai pemimpin hilang jika cuba menyendiri – Annuar Musa

0
2

PENDIRIAN Pas yang mengisytiharkan dasar meneruskan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) harus dilihat secara positif dan terbuka, kata Ketua Umno Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, beliau mengikuti rapat Muktamar Pas kali ini dan resolusi yang diputuskan di Muktamar itu.

“Pas telah mengambil satu langkah strategik bila mengisytiharkan dasar meneruskan kerjasama dengan Umno dan BN.

“Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi. Ia harus disegerakan sebaik saja kita siap siaga dari semua sudut. Top 5 Umno tentunya sudah ada garis masa yang ditentukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, satu dari kesiapsiagaan terpenting adalah formula untuk menang.

“Menyegerakan PRU bagi memenuhi tujuan lain, tetapi jika membawa padah, adalah satu tindakan “kamikaze” politik buat UMNO. Kita harus elakkan itu.

“Kita harus membuat kajian terperinci dan objektif. Data dan hasil penyelidikan yang rapi diperlukan. Kesilapan lampau jangan berulang,” katanya.

Menurutnya, politik negara hanya stabil jika teras dan tiang seri politik kukuh yang mana teras itu adalah berpaksikan politik orang Melayu yang mantap.

Katanya, strategi musuh adalah untuk melihat politik Melayu lemah dan ia lemah bila orang Melayu berpecah.

“Perpaduan Melayu menjadi teras kekuatan Umno selama ini. Sejak penubuhannya 1946, Umno adalah tonggak perpaduan orang Melayu yang paling utama.

“Umno tidak harus terjun ke PRU tanpa menyempurnakan penyatuan Melayu, apa lagi cuba bergerak solo dalam situasi politik yang sudah banyak berubah,” katanya.

Beliau berkata, Umno perlu memimpin perpaduan dan penyatuan serta perlu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk terus memimpin.

“Pendirian Pas (kerjasama dengan Umno/BN) harus dilihat secara positif dan terbuka. Strategi PRU-15 perlu digarap rapi dan bukan atas dasar emosi, atau kepentingan diri.

“Umno perlu menang dan terus memimpin. Peranan ini akan hilang dari umno jika kita cuba menyendiri dan tidak mengutamakan peranan asas penubuhannya, iaitu sebagai sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here