PAS seolah-olah terlalu terdesak untuk memburukkan Umno apabila mendakwa kononnya pucuk pimpinan parti itu tidak memenuhi undangan ke Muktamar Pas kali ini.
Pengarah Komunikasi Pemuda Umno Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata Umno di semua peringkat mengesahkan tidak menerima sebarang undangan ke Muktamar PAS kali ke-68 yang diadakan di Kedah dan berakhir hari ini.
“Jemputan Pas melalui Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, saudara Zulkifli Yahya, kepada Datuk Suraya Yaacob pula hanyalah di atas kapasiti beliau selaku Exco Kerajaan Negeri Kedah, dan saya difahamkan bahawa Exco-Exco Kerajaan Negeri Kedah yang lain juga turut menerima jemputan tersebut.
“Jadi, jemputan itu bukanlah melibatkan kepartian, namun berasaskan jawatan dalam Kerajaan Negeri yang disandang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Syed Mohd Johan berkata, dakwaan Pas kali ini disifatkan pelik kerana selama ini ianya tidak pernah menjadi isu sedangkan Umno adalah rakan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).
“Memang pelik difikirkan sikap Pas dan isu yang sengaja ditimbulkan kali ini. Padahal, sepanjang empat tahun Umno dan Pas bekerjasama dibawah payung MN, tidak pula kepimpinan Umno dijemput hadir ke Muktamar Tahunan Pas.
“Tapi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), tiba-tiba saja Pas jemput Umno ke Muktamar Tahunannya. Sudahlah tiada jemputan dibuat, diburuk-burukkan pula Umno kononnya tidak memenuhi undangan Pas,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan itu adalah putar belit terbaharu Pas yang tidak mencerminkan parti itu berteraskan ajaran Islam.
“Putar belit jenis apakah ini, sahabat? Jika terdesak sangat untuk memburuk-burukkan Umno, janganlah Pas mengada-adakan cerita yang tidak ada. Islam yang diajar Rasulullah SAW tidak berakhlak begitu.
“Oleh yang demikian, saya menyeru Pas agar jangan tiru perangai Pakatan Harapan (PH) atau mantan sekutu PH yang terlibat menipu dan menghasut rakyat pada PRU-14 lalu. Berpeganglah kepada ajaran Islam yang sebenar,” katanya. – Malaysiapost

