Pengetua SMK Senaling lantik peguam isu gesaan pindah

0
2

PENGETUA Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling, Kuala Pilah, Normah Mohd Nor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memfitnahnya dengan mendakwa beliau memberi tekanan kepada guru-guru sekolah berkenaan.

Tindakan itu susulan kain rentang digantung di pagar sekolah berkenaan yang turut tular di laman sosial membabitkan dakwaan guru di sekolah berkenaan meminta pengetua dan guru kanan pentadbiran dipindahkan.

Normah dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu membabitkan maruahnya dan imej sekolah keseluruhannya.

Beliau berkata, tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap individu dan ‘page’ yang telah menularkannya fitnah itu di pelbagai platform media sosial.

“Saya mengambil maklum tentang penyebaran kain rentang dan hantaran di media sosial yang berbaur fitnah ke atas diri saya.

“Saya menafikan dengan tegas atas tuduhan yang disebarkan tersebut yang jelas sekali tidak benar, berniat jahat, dan bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya dan sekolah,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di laman Facebooknya.

Menurutnya, sebagai pengetua beliau dengan sepenuh hati menggalas amanah apabila ditempatkan di sekolah itu yang sudah lapan bulan tiada pengetua.

“Sebagaimana lazimnya, saya telah membuat penstrukturan semula yang mana saya percaya telah mengundang kepada serangan ke atas diri saya dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran.

“Saya terbuka untuk berbincang sebelum ini tetapi tidak akan berkompromi kepada individu yang culas dan sambil lewa dalam bekerja termasuk tidak menunjukkan prestasi baik sepanjang perkhidmatan,” tegasnya.

Beliau berkata, susulan daripada insiden yang berlaku, satu laporan polis telah dibuat dan kes berkenaan sedang dalam siasatan.

“Saya memberi masa selama 48 jam kepada pihak yang terlibat melakukan serangan dan fitnah ini tampil bertemu saya untuk memohon maaf. Walaupun sebagai seorang pentadbir namun saya jua tetap manusia yang mempunyai timbang rasa.

“Tekanan kepada saya tidak mungkin membuatkan saya berganjak daripada mencari kebenaran dan menyatakan hak saya sekaligus menghilangkan fokus saya untuk mengembalikan kecemerlangan di SMK Senaling,” katanya.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan memaklumkan akan memantau isu tular mengenai kain rentang yang menggesa supaya Pengetua dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Senaling dipindahkan.

Pihaknya sudah menghubungi Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengenai perkara itu dan pihak PPD telah turun ke SMK Senaling dan membuat siasatan mengenai protes tersebut.

“Laporan polis turut dibuat bagi mendapatkan kebenaran mengenai aduan tersebut. Siasatan sedang dijalankan.

“Walaupun makluman awal mengatakan majoriti guru-guru tidak bersetuju dengan kenyataan yang dituliskan pada kain rentang tersebut, adalah lebih baik untuk kita tunggu hasil siasatan pihak polis,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here