Ketiadaan duta ke Indonesia, kelemahan yang tidak ‘sepatutnya’ ditonjolkan – Dr Agus

0
2

Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

DALAM menjalankan hubungan antara negara, kita perlu mempunyai perwakilan negara (duta) untuk mengurus kepentingan negara, membantu dan melindungi warga negara kita yang berada di negara orang.

Namun, dalam konteks Indonesia, kita tidak mempunyai duta ke negara tersebut sejak 4 April 2021 lagi apabila Datuk Zainal Abidin Bakar bersara.

Ini bermakna sudah 1 tahun 5 bulan kita tidak mempunyai duta di negara berkenaan.

Pada Jun 2022, berita tersebar bahawa Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilantik sebagai duta ke negara tersebut, namun pelantikan ini dibatalkan.

Sejak itu, berita tentang duta kita ke Indonesia diam. Kita tidak mendengar khabar tentangnya.

Berkebetulan pula saya menetap di sini sekarang dan hal inilah yang kami bincangkan apabila bertemu.

Pertanyaannya, mengapa kerajaan tidak memberi perhatian serius dalam hal ini sedangkan kita mempunyai banyak isu bilateral yang perlu diselesaikan.

Sekadar menamakannya beberapa, antaranya ialah isu pembantu rumah, perdagangan, kebudayaan, pendidikan, pengiriman tenaga kerja, pertahanan, pertumbuhan wilayah ekonomi, kesihatan, pelancongan, ancaman keselamatan, dan tuntutan bertindih yang perlu kita selesaikan bersama.

Tidak hanya itu. Kita perlukan duta untuk melindung warga negara kita di Indonesia yang menghadapi masalah, baik itu masalah hukum, perniagaan dan lainnya.

Kita perlukan duta untuk melakukan promosi dan negosiasi melalui hubungan diplomatik dengan Indonesia.

Walaupun duta itu penting, tetapi duta belum dilantik lagi. Bila dilantik nanti, saya harap kerajaan dapat melantik duta yang memenuhi lapan lapan kriteria berikut:

(i) mempunyai latar pendidikan sesuai yang boleh menjulang nama negara.

(ii) memahami bidang tugasnya.

(iii) mempunyai pengetahuan dan pengalaman tentang Indonesia.

(iv) memahami aspirasi negara kita.

(v) mempunyai peribadi yang tidak sombong dan peka kepada warga yang memerlukan khidmat kedutaan.

(vii) mempunyai keupayaan untuk mempromosikan negara, melindungi kepentingan warga kita, dan lain sebagainya.

(viii) mampu menyelesaikan konflik bilateral antara dua negara.

Sudah satu tahun lima bulan jawatan duta kita tidak diisi. Ini seolah-olah kerajaan menganggap hubungan diplomatik tidak penting.

Bagi saya, tidak mempunyai duta di negara sepenting Indonesia untuk tempoh yang begitu lama adalah ‘kelemahan’ yang sepatutnya tidak berlaku.

Susah sangatkah mencari calon yang sesuai? Saya fikir, kita mempunyai ramai pemimpin atau pegawai yang layak dan memenuhi kriteria sebagai seorang duta. Lantiklah secepatnya!

Penulis ialah penganalisis politik dan bekas pensyarah kanan Sains Politik UKM)

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here