PRU15: PN tidak gentar hadapi 3 atau lebih penjuru

0
2

PERIKATAN Nasional (PN) tidak gentar berhadapan pertembungan tiga atau lebih penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PN bersedia menentang sesiapa sahaja termasuk Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 ini.

Jelasnya, cadangannya untuk bekerjasama dengan PH sebelum ini hanyalah sebagai maklum balas bagi mengelakkan perpecahan undi berlaku pada PRU15 nanti.

“Sebelum ini ada pihak-pihak mencadangkan kalau boleh elakkan pertembungan. Suara itu turut disuarakan ketua Pemuda PN, iaitu ketua Pemuda PAS dalam konvensyen PN. Jadi saya respon kalau boleh berlaku.

“Saya faham situasinya agak sukar kerjasama. Apa pun kalau sudah begitu situasinya, kita akan hadapi realitinya kalau ada pertembungan. Kita akan lawan. Kita sedia hadapi tiga penjuru ke, empat penjuru ke, 10 penjuru ke tidak menjadi masalah,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata kepada media selepas majlis perasmian Muktamar PAS ke-68 di Kompleks PAS Kedah hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Muhyiddin mengaku menyedari cadangan tersebut berkemungkinan besar akan ditolak rakan komponen PN termasuk PAS, malah dari PH sendiri.

“Kemungkinan besar PRU15 ini akan melihat beberapa penjuru. Kita ada strategi tertentu…untuk menentukan kejayaan,” katanya.

Mengulas mengenai peluang PN pada PRU15 ini, Muhyiddin tetap menaruh kepercayaan bahawa PN berpotensi menang ke atas BN dan PH.

“Tadi pesan tok guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) tentang pengundi muda, mereka belum lagi keluar mengundi. Jumlah agak ramai hampir enam juta. Kita lihat ada kecenderungan anak muda menolak kleptokrasi, salah guna kuasa, rasuah, jadi kalau begitu kami percaya PN pilihan terbaik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here