Guru SMK Taman Sea positif Covid-19

0
2

SEORANG guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sea di Petaling Jaya disahkan positif Covid-19 hari ini selepas menjalani ujian saringan kali ketiga, Isnin lalu.

Guru tersebut merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 di Kelantan.

Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Pendidikan Selangor, Izmi Ismail, berkata guru tersebut telah menjalani kuarantin kendiri sejak 30 September dan ujian saringan pertama dan kedua menunjukkan dia negatif Covid-19.

“Dalam tempoh menunggu keputusan beliau menjalani kuarantin di rumah dan tidak hadir ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu difahamkan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling telah mengarahkan semua murid dari kelas 1C, 2K, 2B dan 2J serta beberapa guru untuk kuarantin di rumah sementara menunggu keputsuan ujian swab.

“Buat masa ini hanya kelas sahaja ditutup dan disanitasi. Kita sentiasa mengikuti nasihat oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan Kementerian Kesihatan berhubung langkah selanjutnya selepas ini,” katanya. – Malaysiapost