
AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata beliau tidak hairan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Datin Seri Rosmah Mansor bersalah berkaitan kes rasuah projek solar hibrid, semalam.
Jelas Mohd Puad, keputusan mahkamah itu tidak menghairankan kerana semua pihak termasuk rakyat sudah membaca deraf penghakiman yang bocor lebih awal, iaitu Rosmah bersalah.
“Sudah dijangka Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah. Rakyat sudah baca deraf penghakiman yang bocor lebih awal, iaitu Rosmah bersalah. Apa dihairankan,” tulisnya di Facebook.
Dalam pada itu, Mohd Puad mempersoalkan penegasan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang berhujah bahawa deraf penghakiman yang bocor itu bukan miliknya.
“Hakim berhujah, deraf yang bocor itu bukan miliknya. Dia tidak baca deraf itu. Dia ada penyelidikan sendiri. Betulkah dia tidak baca? Atau itu jawapan untuk ‘cover line’.
“Pokoknya Hakim tidak menafikan kewujudan draf yang bocor itu. Baru rakyat tahu ada unit penyelidikan yang menyediakan deraf penghakiman. Apa perlu deraf kalau Hakim tak tengok?
“Tetapi setelah Hakim tolak permohonan Rosmah supaya hakim tarik diri, dia terus buat keputusan dan jatuhkan hukuman. Cepat betul. Memang efisyen,” katanya.
Semalam, Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Isteri bekas Perdana Menteri itu dikenakan hukuman berkenaan selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Kesemua penjara itu adalah selama 30 tahun namun mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan secara serentak maka Rosmah hanya dipenjara selama 10 tahun.
Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan Rosmah menangguhkan hukuman penjara dan denda, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya. – Malaysiapost
