SEORANG lelaki yang tidak dapat menerima teman wanitanya memutuskan hubungan, bertindak menikam pasangannya itu dalam kejadian di sebuah unit apartment di Masai, Johor semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 34 tahun cedera di bahagian muka, lengan kanan, pergelangan tangan dan luka tdi bahagian rusuk kanan akibat ditikam dengan pisau oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata kejadian itu dilaporkan oleh seorang pengawal keselamatan yang mendengar jeritan dari sebuah rumah di apartment terbabit.
“Semasa pengawal keselamatan itu membuat pemeriksaan, telah melihat seorang wanita tempatan dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat seorang lelaki tempatan memegang sebilah pisau.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Balai Polis Masai telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 30 tahun di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau jenama NSF berikutan kira-kira 19 sentimeter termasuk hulunya yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa dan suspek adalah pasangan kekasih dan wanita terbabit telah memutuskan hubungan menyebabkan suspek tidak bersetuju sehingga berlaku pergaduhan.
“Semakan mendapati suspek
mempunyai satu rekod jenayah lampau dan kini direman enam hari bermula hari ini.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat,” katanya. – Malaysiapost

