SUKMA 2022: Kontinjen Pahang sasar 33 emas

0
3

Ben Ibrahim

SEBANYAK 33 pingat emas menjadi sasaran kontinjen Pahang yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di ibu negara, pertengahan bulan ini.

Selain memberi perhatian kepada acara sukan memanah, golf, silat dan gimrama, kontinjen dibarisi 557 atlet itu juga dijangka memberi saingan sengit dalam acara bola sepak dan menembak.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan insentif kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat dalam kejohanan dwi tahunan itu.

“Sudah tentu ada imbuhan kepada mereka jika berjaya meraih pingat emas, namun lebih utama ialah penyertaan mereka dengan penuh semangat kesukanan.

“Menang atau kalah itu perkara biasalah, cuma untuk membakar semangat mereka dan mengharumkan nama Pahang,” katanya dalam sidang media di Kuantan, petang tadi.

Terdahulu, Wan Rosdy menyempurnakan Majlis Penyerahan Kontinjen Pahang Ke SUKMA kepada Ketua Kontinjen, Datuk Hamdan Hussin yang juga Datuk Bandar Kuantan.

Dalam ucapan pada majlis itu, Wan Rosdy meminta semua atlit menjaga disiplin mereka dan nama baik Pahang supaya dihormati kontinjen dari negeri lain.

Selain sasaran 33 pingat emas, kontinjen Pahang juga diharapkan membawa pulang sekurang-kurangnya 20 pingat perak dan 46 pingat gangsa dalam edisi SUKMA kali ini.

Sementara itu, Hamdan ketika ditemui selepas majlis berkenaan memaklumkan, kontinjen SUKMA Pahang kali ini adalah paling lama berlatih dan melakukan persediaan sebelum boleh beraksi.

“Boleh dikatakan semua atlit sudah lama bersedia untuk ke temasya SUKMA yang sudah dua tahun tertangguh akibat Covid-19.

“Ada antaranya tidak dapat mewakili Pahang kerana faktor umur dan kita berdepan sedikit kesukaran untuk mencari pengganti atlit itu.

“Secara keseluruhan saya puas hati dengan pemilihan atlit dan ada antaranya masih meneruskan latihan sebelum acara mereka bermula,” katanya yang berharap kontinjen Pahang dapat meraih sekurang-kurangnya kedudukan lima terbaik keseluruhan dalam saingan tahun ini.

Beliau berkata, rombongan pertama kontinjen SUKMA Pahang akan bertolak ke ibu negara 10 September ini dan disusuli atlit lain secara berperingkat selepas itu.

SUKMA 2022 dijadualkan membuka tirai pada 16 September ini dan berakhir pada 24 September sebelum edisi Para SUKMA bermula 1 hingga 6 November 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here