Surat terbuka buat Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

0
2

Rakyat Marhaen Yang Kecewa

[Sudut Pandang] Sebenarnya telah banyak cerita-cerita di sebalik tabir yang tersebar berkait Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli al-Bakri. Ia termasuklah tentang kontroversi kelewatan perlantikan Mufti Wilayah yang baharu, isu aliran kewangan membabitkan beberapa institusi tertentu, isu perkahwinan online antara pasangan yang tinggal berdekatan iaitu Setiawangsa-Wangsa Maju sedangkan YB Menteri Agama yang dari kawasan jauh boleh pula hadir ke rumah pengantin dan banyak lagi isu berlegar sejak PKP diumumkan.

Namun, cerita-cerita belakang tabir ini biarlah tidak terdedah lanjut agar imej serta maruah institusi agama Islam tidak tercalar dan dijadikan modal serangan oleh puak Liberal. Perkara yang hendak difokuskan pada surat terbuka ini adalah berkaitan disiplin pematuhan SOP oleh YB Menteri Agama sendiri sejak sekian lama.

Dikhabarkan ada laporan polis dilakukan terhadap YB Menteri Agama berhubung tindakan YB Menteri Agama bersama rakan-rakan akrab beliau yang mengadakan perbincangan projek penerbitan buku sehingga melanggar arahan PKP beberapa bulan lepas. Namun sehingga kini tiada sebarang berita tentang apa-apa tindakan yang dikenakan.

Bahkan menurut maklumat menerusi video siaran langsung Facebook veteran UMNO, Datuk Zaharin Mohd Yasin beberapa bulan lalu, tindakan YB Menteri Agama yang giat menyusun atur jawatan-jawatan tertentu dalam institusi di bawah kendalian beliau ketika PKP telah menyebabkan pihak Istana Negara mengutuskan ‘surat kuning’.

Tatkala para pemimpin menuding jari kepada rakyat kerana tidak mematuhi SOP, rupa-rupanya para pemimpin sendiri tidak mematuhi peraturan yang mereka tetapkan. Jika rakyat melanggar peraturan, dengan segera didenda RM 1000 atau dipenjara. Tatkala rakyat merana kerana kemelesetan ekonomi serta dibuang kerja, para pemimpin yang menikmati gaji dan elaun berpuluh ribu sebulan dengan bebasnya tidak mematuhi SOP tanpa sebarang denda. Perkara ini dilakukan oleh pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.

Itu belum lagi kisah sikap gila kuasa para pemimpin yang berebut kuasa dalam keadaan genting ini. Rakyat bukannya marah jika seseorang menteri itu dijangkiti Covid-19 super spreader ini. Namun yang dikesalkan adalah sikap mereka yang sengaja pergi ke kawasan wabak dan pulang tanpa melakukan self quarantine atas rasa tanggungjawab. Bahkan, sepatutnya pihak kerajaan melaksanakan kuarantin wajib bagi sesiapa yang baru pulang dari kawasan wabak.

Lebih mengecewakan, YB Datuk Dr Zukifli al-Bakri yang arif dalam hal ehwal agama sendiri tidak mematuhi Hadis Rasulullah yang melarang kita pergi ke tempat wabak. Bahkan YB Menteri Agama terus menjelajah ke lima buah negeri bagi menghadiri pelbagai majlis keramaian termasuklah mentahnik dua bayi kecil selepas pulang dari Sabah. Semoga virus super spreader Covid-19 ini tidak merebak di seluruh tempat yang beliau jelajahi agar tidak wujud Kluster Menteri.

Kini tersebar gambar-gambar yang menunjukkan YB Menteri Agama bergambar tanpa penjarakan fizikal sedangkan ketika solat saf dijarakkan sejauh 1 meter. Bukanlah hendak menidakkan keperluan saf satu meter, namun sepatutnya kita perlulah jujur dan konsisten melaksanakan penjarakan fizikal di luar waktu solat sekali. Sedangkan ketika solat kita perlu melaksanakan penjarakan fizikal, maka sepatutnya ketika bergambar lebih lagilah kita perlu melaksanakan penjarakan fizikal.

Ingatlah bahawa penyakit ini berjangkit tanpa mengenal darjat. Kasihanilah warga frontliner yang berpenat lelah, bertungkus lumus melawan penyebaran virus ini dengan keringat dan air mata. Kita perlulah jujur dalam melaksanakan segala SOP tidak kira sama ada rakyat marhaen mahupun para pemimpin.

YB Menteri Agama Datuk Dr Zulkifli al-Bakri harus bersyukur kerana rakyat segan silu untuk mengkritik YB Menteri Agama kerana pasukan media YB Menteri Agama licik dalam melindungi imej YB Menteri Agama. Warga maya hanya menitipkan kata-kata pujian yang positif, doa yang murni-murni sahaja dan tidak mahu menuding jari kerana segalanya disandarkan kepada takdir semata-mata. Seandainya yang berada ditempat Datuk Dr Zulkifli al-Bakri kini ialah Datuk Dr Mujahid, sudah pastinya sekalian warga maya bangkit memaki hamun ahli politik Parti Amanah Negara itu dengan berbakul-bakul cercaan dahsyat. Begitulah ‘kejujuran’ masyarakat awam dalam menilai sesuatu isu.

Akhir kalam, semoga Datuk Dr Zulkifli al-Bakri cepat sembuh dan mendapat rehat yang secukupnya dalam minggu kuarantin wajib ini. Mungkin ada hikmahnya segala benda yang terjadi ini. Kami menyayangi YB Menteri Agama namun kebenaran, kesihatan dan keselamatan lebih utama untuk kami sayangi.

Artikel ini ditulis oleh pembaca Malaysiapost dan disiarkan tanpa suntingan. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian kami.-Malaysiapost