PAS tidak pernah lupa RUU355 – Ahmad Fadhli

0
2

PAS tidak pernah lupa dengan perjuangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU355.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata sebaliknya, parti itu yang merupakan sebahagian daripada komponen kerajaan sedang menyiapkan draf RUU itu bagi meningkatkan dan memperkasakan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

“Mengenai isu RUU355 pula PAS tidak pernah lupa. PAS di dalam kerajaan sedang mempergiatkan usaha menyediakan draf RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

“Pelbagai sudut telah dilihat khususnya aspek Perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU355 itu lebih komprehensif , seterusnya dapat memperkasakan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS di Alor Setar, Kedah, hari ini. Muktamar itu dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ahmad Fadhli berkata, usaha itu adalah untuk mengangkat kedudukan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil.

Katanya, PAS tidak pernah beretorik soal perjuangan Islam, sebaliknya akan terus melaksanakan bila diamanahkan.

“PAS bukan sekadar beretorik tentang Islam. Apabila diamahkan dengan kepimpinan, keindahan dan kesyumulan Islam akan diterjemahkan dalam pemerintahan.

“Inilah usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh PAS,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, PAS Kelantan memberi bayangan bahawa penantian terhadap pelaksaan RUU355 bakal sampai ke penghujungnya.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan berkata pihaknya ada dimaklumkan oleh seorang menteri berhubung perkara itu.

“Kita dah sampai di peringkat ke-15 daripada 24 (peringkat) dan insya-Allah saya mendapat perkhabaran daripada seorang menteri, tak lama lagi RUU355 akan sampai ke penghujung sebagaimana yang kita idamkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here