‘Kenapa Zahid, Umno tak minat desak polis ganda usaha tangkap Jho Low?’ – Guan Eng

0
2

BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa tiada kemajuan dalam usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Guan Eng berkata demikian susulan pendedahan wartawan, Bradley Hope yang mendakwa Jho Low yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa masih bersembunyi di China.

Pengerusi DAP itu, berkata Jho Low mesti dipenjarakan memandangkan peranannya dalam membantu Datuk Seri Najib Razak ‘merompak’ negara dalam skandal RM52 bilion 1MDB.

“Memandangkan Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, Jho Low juga mesti dihukum penjara kerana peranannya membantu Najib merompak negara dalam skandal RM52 bilion 1MDB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng juga mempersoalkan mengapa Umno dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mendesak kerajaan untuk menggandakan usaha mengesan Jho Low.

“Setakat ini tiada kemajuan daripada usaha polis untuk mengesan Jho Low. Mengapa Umno dan Zahid tidak berminat mendesak kerajaan menggandakan usaha menangkap Jho Low?

“Perdana Menteri, (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) tidak boleh lupa bahawa kedua-dua bekas Perdana Menteri Najib Razak dan Jho Low adalah individu utama yang bertanggungjawab terhadap skandal kewangan terbesar dalam sejarah,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam nada sindiran berkata, polis wajar meminta bantuan Bradley Hope dan Tom Wright kerana kedua-dua mereka adalah individu yang membuat pededahan keberadaan Jho Low.

“Memandangkan polis tidak membuat banyak kemajuan, mungkin mereka boleh meminta bantuan Tom Wright dan Bradley Hope untuk memberikan maklumat mengenai Jho Low?,” katanya

Semalam, media melaporkan, Jho Low yang terbabit dalam skandal 1MDB didakwa masih bersembunyi di China.

Perkara itu didedahkan Bradley Hoper yang juga penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’, menerusi episod pertama program ‘Di Mana Jho Low’ yang disiarkan di platform aplikasi video YouTube hari ini.

Menerusi episod itu, Hope bersama Tom Wright turut berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai.

Hope berkata, gambar didakwa bertarikh 24 Disember 2019 itu diterimanya daripada sumber boleh dipercayai.

Difahamkan, sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan daripada dana 1MDB oleh Jho Low dan beberapa pegawai peringkat tinggi yang menguruskan dana itu serta sekutu mereka.

Polis cuba mengesan dan membawanya pulang ke negara ini, namun usaha pihak berkuasa itu setakat ini masih belum berhasil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here