PEMUDA Umno menggesa Pejabat Peguam Negara untuk memberi penjelasan mengenai kesahihan surat tular berhubung arahan mempercepatkan kes perbicaraan membabitkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata pihaknya memandang serius mengenai surat tular daripada Pejabat Peguam Negara yang meminta Hakim Mahkamah Tinggi memberi keutamaan terhadap perbicaraan kes Ahmad Zahid.
“Justeru, Pemuda Umno mendesak pejabat Peguam Negara memberi penjelasan sama ada surat viral itu benar dan jika benar Peguam Negara harus memberi penjelasan kenapa kes Ahmad Zahid begitu keutamaan,” katanya dalam kenyataan.
Syed Mohd Johan berkata, kemunculan surat tersebut adalah yang ketiga selepas tular draf keputusan Mahkamah Persekutuan kes SRC Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Najib Razak.
“Draf SRC itu kemudiannya diakui sahih manakala tular draf keputusan kes mahkamah Datin Seri Rosmah Mansor pada 1 September ini pula menimbulkan persoalan tentang ‘code of conduct’ sistem perundangan negara,” katanya.
Justeru, beliau menyifatkan sekiranya surat terbaharu Pejabat Peguam Negara itu adalah benar, ia satu tragedi kepada sistem perundangan yang selama ini dijunjung tinggi masyarakat
“Jika benar, ia telah mencemarkan kesucian sistem perundangan dan meletakkan sistem itu menjadi persoalan ketelusan oleh masyarakat yang sentiasa berharap sistem perundangan mempraktikan keadilan melebihi sebarang keraguan.
“Juga menimbulkan persoalan ‘jadi sekarang terbuktilah dakwaan selective political prosecution itu benar berlaku’. Dan kami mengharapkan jawapan Pejabat Peguam Negara yang bijaksana,” katanya . – Malaysiapost

