Umno Perak mula kumpul petisyen keampunan Najib

0
2

UMNO Perak akan memulakan kutipan petisyen untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan keampunan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata Badan Perhubungan Umno Negeri telah diminta mengeluarkan pekeliling supaya dapat dianjurkan kutipan tanda tangan beramai-ramai dalam kalangan ahli.

“Perak kita mulakan sekarang, secara kebetulan Umno sedang buat mesyuarat cawangan-cawangan, jadi semasa mesyuarat itu boleh buat kutipan (tanda tangan),” katanya memetik BN Online.

Menteri Besar Perak itu berkata, petisyen pengampunan untuk Najib seperti disarankan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu bukanlah satu perkara yang pelik.

Katanya, dalam situasi semasa ini, sudah tentulah penyokong-penyokong parti yang bersimpati dengan keadaan Najib berhasrat untuk memohon perkenan Agong memberi pengampunan.

“Jadi sudah tentulah pihak istana nak tengok berapa ramai orang minta.

“Umno ada keahlian tiga juta seluruh negara dan di Perak sendiri, lebih kurang 300,000 ahli. Kalau semua yang ada ini buat petisyen yang sama, alangkah baiknya,” katanya.

Dalam masa sama, petisyen dalam talian dilancarkan menerusi change.org bagi solidari pengampunan diraja untuk bekas perdana menteri itu.

Orang ramai boleh meluahkan petisyen berkenaan dalam usaha meyokong pengampunan tersebut.

Petisyen itu antara lain menyatakan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, ekonomi Malaysia berada dipuncaknya dengan pelbagai inisiatif ekonomi, penambahbaikan sosial, dana untuk pelajar dan kemasukan pelaburan asing tertinggi.

Turut dinyatakan juga kepimpinan Datuk Seri Najib Razak turut disenangi dua kuasa ekonomi utama dunia Amerika Syarikat dan China.

“Beliau juga sentiasa berbaik-baik dengan negara tetangga, menjaga hati pemimpin Arab tetapi dalam masa sama masih menghormati negara dalam pertikaian, Taiwan.

“Polisi ekonomi Datuk Seri Najib Razak yang memindahkan pemilikan khazanah rakyat dari taikun-taikun tertentu kepada syarikat milikan negara menyebabkan ada pihak sakit hati sekali gus memulakan plot politik jahat,” kata petisyen itu.

Sabtu lalu, Ahmad Zahid meminta ahlinya supaya menyokong petisyen pengampunan terhadap Najib yang didapati bersalah kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara dan didenda RM210 juta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here