MT3 perintis ujian sistem keselamatan kenderaan

0
2

PEMBINAAN MIROS Technology Test Track (MT3) sepanjang satu kilometer akan menjadi perintis kepada pelbagai ujian sistem keselamatan aktif dan pasif kepada kenderaan di rantau Asia Tenggara dan Malaysia khususnya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata melalui pembangunan litar itu, beliau berharap dapat menarik pihak swasta dan agensi-agensi yang lain untuk bekerjasama dengan MIROS.

“Ini bagi memastikan kenderaan yang dihasilkan dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan agar kenderaan yang berada di pasaran adalah kenderaan yang bertaraf lima bintang dan selamat untuk digunakan.

“Saya juga berharap dengan terbinanya MT3 ini, agensi-agensi yang berkaitan terutamanya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dapat melaksanakan pengujian kepada kenderaan bagi proses kajian, penyelidikan dan juga bagi tujuan penilaian.

“Contohnya, bagi Proses Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dan penilaian kenderaan yang mengikut Standard Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Regulations) di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah MIROS Technology Test Track (MT3) di Sepang, Selangor, pagi tadi.

Tambah Ka Siong, hubungan kerjasama yang sememangnya erat antara MIROS dan JPJ ini diharapkan dapat mengukuh dan meningkatkan lagi tahap keselamatan kenderaan di negara.

“Kementerian Pengangkutan akan sentiasa menyokong usaha dan komitmen MIROS dalam memastikan usaha yang membawa kepada kemajuan signifikan ini dapat diteruskan dan dilaksanakan seperti yang dirancang.

“Saya juga mengucapkan selamat datang dan selamat berkhidmat kepada empat Ahli Lembaga Pengarah MIROS yang baharu iaitu Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim; Pengarah Urusan PLUS Expressways Berhad, Datuk Azman Ismail.

“Selain itu, Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia, Antony Lee Fook Weng dan Timbalan Ketua Editor Sin Chew Daily Malaysia, Allen Hwn Yaul Len,” katanya.

Beliau turut yakin dengan ilmu dan pengalaman luas mereka semua, dapat membantu serta membawa MIROS ke peringkat yang lebih tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here