Ben Ibrahim
SEPUPU mangsa antara tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Pekan, Pahang, hari ini, kerana membunuh seorang gadis Orang Asli pada 20 Ogos lalu.
Tertuduh Rosli Bakar, 29, Helmat, 22 dan Murad Ahmad, 26 tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.
Ketiga-tiga kenalan berketurunan Jakun itu, bersama-sama melakukan kesalahan dengan niat membunuh mangsa, seorang gadis berusia 14 tahun.
Mereka didakwa melakukan jenayah itu di hutan berhampiran simpang kawasan perkuburan lama, dekat Bukit Ibam, Muadzam Shah pada 20 Ogos lalu, antara jam 11.15 malam hingga 7 pagi.
Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Luqman Hakim Mohamad Usari, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Deniel Roslan.
Mahkamah menetapkan 3 November ini bagi sebutan semula kes di Mahkamah Rompin sementara menunggu laporan kimia.
Media pada 23 Ogos lalu melaporkan penahanan tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kes penemuan mayat seorang remaja perempuan Orang Asli di Bukit Ibam, dekat Muadzam Shah, Rompin.
Mereka ditahan sepasukan polis daripada cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang.
Mayat itu ditemui dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala di kawasan lereng bukit bersemak berdekatan dengan laluan rumahnya. – Malaysiapost

