KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mempertahankan kenyataan Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menukar Peguam Negara semasa menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, apa yang Pakatan Harapan (PH) lakukan ketika memerintah selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) terhadap Sistem Kehakiman dan Institusi Perundangan Negara tidak boleh dilupakan.
Menerusi hantaran di Facebook, Asyraf Wajdi menyenaraikan tindakan PH terhadap Sistem Kehakiman dan Institusi Perundangan Negara ketika itu.
“Majlis Penasihat Kerajaan ataupun ‘Council of Elders’ memanggil Ketua Hakim ketika itu untuk menghadap mereka dan mendesak peletakan jawatan mereka.
“DAP berjaya melobi dengan hebat sekali Tan Sri Richard Malanjum untuk dilantik Ketua Hakim Negara.
“Campur tangan PH dalam menukar Ketua Hakim Negara kepada calon pilihan mereka Tan Sri Richard Malanjun turut mendapat kritikan hebat daripada Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid yang menyifatkan campur tangan Eksekutif dalam perlantikan Hakim. Ini juga disahkan oleh Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya.
“Ketua Hakim baharu kemudiannya bersara dan berkempen bagi pihak PH+ pada pilihan raya Sabah 2020 termasuk naik pentas bersama Guan Eng untuk ceramah politik,” tulisnya.
Selain itu, Asyraf Wajdi berkata semasa 22 bulan memerintah PH secara tidak sah memecat Peguam Negara ketika itu dan menggantikannya dengan pilihan DAP, Tan Sri Tommy Thomas.
Katanya, PH turut meletakkan pemimpin kanan parti iaitu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jadi…. PH dan BERSIH masih berani menyeru orang lain supaya menghormati jawatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman?,” soalnya.
Kelmarin, Azalina yang juga Penasihat Undang-Undang kepada Perdana Menteri membangkitkan soal lantikan Peguam Negara yang secara lazimnya dilantik berdasarkan pemilihan Perdana Menteri yang berkuasa ketika itu.
Azalina berkata, seorang Perdana akan melantik ‘orangnya sendiri’ untuk menjadi Peguam Negara.
“Di mana-mana negara, sesiapa yang menjadi Perdana Menteri akan memilih orangnya sendiri untuk menjadi AG.
“Saya sudah menjadi ketua bahagian Umno lebih 20 tahun. Sudah tentu setiausaha bahagian adalah orang saya sendiri, begitu juga ketua penerangan kerana saya melantik mereka,” katanya. -Malaysiapost

