Sesi awal persekolahan 2023 kekal pada bulan Mac

0
2

TAKWIM persekolahan 2023 yang dijadual bermula pada bulan Mac kekal selepas mengambil kira pelbagai faktor. 

Perkara itu disahkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin yang berkata, pelbagai faktor diambil kira dalam penyediaan takwim persekolahan termasuk kebarangkalian banjir di negeri-negeri Pantai Timur pada hujung tahun susulan musim Monsun Timur Laut dan sela masa yang panjang selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar melanjutkan pelajaran.

“Bulan lain pun ada banjir juga, kita tak nafikan tapi secara umumnya kita tahu di musim monsun kemungkinan berlaku banjir itu tinggi.

“Kita lihat dalam konteks pengurusan peperiksaan antara cabaran paling besar dihadapi Lembaga Peperiksaan adalah untuk menguruskan SPM sewaktu banjir, kadang-kadang menimbulkan banyak perkara teknikal dan menyukarkan pelaksanaan peperiksaan,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini. 

Selain itu, Dr Radzi berkata, dengan pelaksanaan takwim sedia ada, sela masa bagi calon SPM yang telah menduduki peperiksaan tidak terlalu panjang sekali gus mengekalkan momentum pembelajaran pada pelajar berkenaan. 

Sementara itu, Radzi berkata, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu berusaha menukar persepsi masyarakat, pentadbir sekolah dan guru yang melihatnya sebagai “kumpulan datang ke sekolah untuk mencari kesalahan” walaupun situasi itu tidak berlaku.

Beliau berkata, pihak PPD perlu turun ke sekolah untuk mendekati dan memahami masalah dihadapi guru-guru dan pentadbir seterusnya mengemukakan isu berkenaan kepada pihak atasan agar Kementerian Pendidikan dapat meneliti pendekatan yang boleh dilaksanakan.

“Selain itu, kita tekankan juga bahawa PPD ini mesti sentiasa terbuka kepada masyarakat sebab itu minggu ini PPD di seluruh negara boleh pilih satu atau dua hari di hujung minggu untuk melaksanakan Hari Terbuka PPD.

“Semua pihak yang ingin berurusan dengan PPD boleh datang, kerana kita ingin menghantar mesej bahawa PPD sentiasa terbuka, apa yang paling penting untuk kita lihat bahawa pendidikan ini sama ada di peringkat Jabatan Pendidikan dan PPD sentiasa cakna dengan apa yang berlaku di bawah sana,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here