Bukit Aman panggil Presiden PAS

0
3

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan beliau yang berbaur perkauman berkaitan isu rasuah, baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru berkata, Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman untuk direkodkan keterangan.

Skandaguru menjelaskan, PDRM menerima 28 laporan polis dan pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Marang itu. 

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Abdul Hadi dalam satu kenyataan pada minggu lalu berkata, memilih pemimpin yang tidak berintegriti dan mengamalkan rasuah adalah suatu bentuk perbuatan khianat yang akan menghancurkan negara serta dunia

Menurutnya, pemimpin yang tidak berintegriti akan menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

Abdul Hadi menambah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera.

Mengulas lanjut, Skandaguru berkata, siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan PDRM.

“PDRM juga menyeru orang ramai cakna dan prihatin terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa juga cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here