GARDENIA akan menaikkan harga roti keluarannya bermula 1 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Koh Chin Huat, dalam suratnya kepada peruncit berkata, impak inflasi terhadap bahan mentah memaksa harga dinaikkan untuk kali kedua bagi tempoh kurang setahun.
Menurutnya, kali terakhir harga roti keluaran Gardenia dinaikkan pada 1 Disember lalu.
“Bermula 1 September, Gardenia Original Classic 400g akan dijual pada RM3 (naik 20 sen), Original Classic Jumbo 600g RM4.30 (naik 30 sen) dan Breakthru Wholewheat 400g RM4 (naik 40 sen).
“Harga bagi krim gulung – vanila, gula mentega dan karamel masin – dinaikkan kepada 10 sen kepada RM1.10 sen setiap satu.
“Siri roti “Toast Em” juga meningkat kepada 50 sen kepada RM5.50. Dalam semakan harga pada 1 Dis 2021, sebuku Original Classic 400g dinaikkan kepada 30 sen, manakala Original Classic Jumbo 600g dinaikkan kepada 45 sen,” katanya.
Chin Huat menjelaskan, peningkatan harga terbaharu itu kesan daripada kenaikkan berterusan bahan mentah seperti tepung dan lemak sayuran.
Dalam surat itu turut disertakan senarai 53 produk keluaran syarikat itu yang akan dinaikkan harga.
Sementara itu, semakan di laman Facebook rasmi Gardenia telah mengesahkan perihal surat itu.
“Kami ingin meyakinkan anda (pelanggan) bahawa perubahan semula harga produk-produk kami akan menjadi pilihan terakhir setelah berusaha sedaya upaya melalui pelbagai cara bagi mencapai kecekapan dan produktiviti.
“Melihatkan keadaan tersebut, kami tidak mempunyai pilihan lain selain menyemak semula harga hanya pada produk-produk yang terjejas,” kata Gardenia dalam maklum balas komen pengguna di Facebooknya. -Malaysiapost

