Covid-19: Sesi persekolahan di Klang seperti biasa

0
3

JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan sesi persekolahan di Klang masih diteruskan seperti biasa walaupun daerah itu dikategorikan zon merah tengah hari semalam.

Pengarahnya, Izmi Ismail, berkata sebarang penutupan sekolah hanya dilakukan selepas mendapat saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, setakat ini, hanya tujuh kelas melibatkan dua sekolah di Klang ditutup selepas pelajar dan guru diarah menjalani kuarantin di rumah kerana mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

“Ia membabitkan masing-masing satu kelas tingkatan lima dan tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandamaran Jaya dan lima kelas tahun enam di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Andalas.

“Bagaimanapun, JPN Selangor melakukan proses sanitasi di semua kelas yang terlibat,” katanya seperti dilapor Bernama.

Izmi berkata, kuarantin selama 14 hari membabitkan pelajar dan guru SMK Pandamaran Jaya bermula pada 30 September manakala bagi SK Taman Sri Andalas pula pada 3 Oktober.

Menurutnya, pihak sekolah juga sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard ditetapkan dan mematuhi segala saranan pejabat kesihatan daerah bagi mengawal penularan Covid-19.

Selangor mencatatkan 232 kes aktif semalam termasuk di Klang yang merekodkan 77 kes sedang dirawat.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas berhubung situasi semasa Covid-19 berkata, setakat ini kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah di kawasan zon merah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah. -Malaysiapost