Artikel fitnah: Umno saman Malaysiakini, Astro Awani

0
3
KUALA LUMPUR 09 JULAI 2018. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

UMNO akan memulakan tindakan saman hari ini ke atas portal Malaysiakini dan Astro Awani kerana didakwa menyiarkan artikel yang mendatangkan fitnah serta berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap parti itu.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penerbitan artikel Malaysiakini bertajuk ‘Kata dua Umno buat PM: Bubar Parlimen atau dipecat’ manakala Astro Awani ‘Majoriti Ketua Bahagian Umno tolak usul desak PM campur tangan kes SRC – Sumber’ itu dianggap tidak bertanggungjawab dan beretika.

Katanya, perkara ini telah dibincangkan bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi termasuk peguam untuk mengfailkan saman terhadap kedua-dua media tersebut.

“Selaku Ketua Pemuda Umno saya berada dalam Mesyuarat Biro Politik Umno dari awal hingga akhir. Apa yang dilaporkan oleh Malaysiakini kononnya Mesyuarat memberi kata dua kepada Perdana Menteri sama ada untuk membubarkan Parlimen atau dipecat adalah fitnah dan berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap umno.

“Begitu juga kepada Awani yang turut membuat berita fitnah tempoh hari kononnya Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian Umno ada mendesak untuk PM campur tangan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan SRC. Kedua-dua penglaporan berita Fitnah ini langsung tidak bertanggungjawab dan beretika.

“Saya telah menghubungi Datuk Seri Presiden dan berbincang dengan Peguam Umno untuk memulakan tindakan saman ke atas Malaysiakini dan Awani hari ini,” katanya menerusi Facebook.

Asyraf berkata, Malaysiakini dan Astro Awani seharusnya mendapatkan atau memetik sumber yang sahih bukan hanya sekadar menyatakan ‘sumber dalaman’ yang tidak berasas hingga mencetuskan persepsi negatif.

“Biro Politik terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden. Ketua-Ketua Sayap, SU Agung, Bendahari, KPEN dan Pengerusi-pengerusi Umno Negeri.

“Kalau sekadar menyebut ‘sumber dalaman’, media massa pojok murahan yang tiada terikat dengan etika kewartawanan sahaja yang selalunya akan menyebut begitu.

“Semua ini semacam satu perancangan untuk menconteng imej dan persepsi negatif terhadap Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here