Ka Siong digesa letak jawatan kerana buat dakwaan palsu

0
3

LIM Guan Eng menggesa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meletak jawatan kerana membuat dakwaan palsu terhadap Pakatan Harapan (PH) berhubung projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).

Pengerusi DAP itu berkata, Ka Siong sebelum ini mendakwa kos projek berkenaan yang dikurangkan oleh PH sebanyak RM725 juta daripada RM5.2 bilion adalah masih mahal, namun kini meneruskan projek itu pada tanda harga yang sama.

“Ka Siong sepatutnya meletakkan jawatan kerana gagal membuktikan dakwaannya terhadap Setiausaha Agung DAP dan bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa kos RM4,475 juta KVDT2 oleh PH adalah terlalu mahal.

“Beliau membuka semula tender kerana mendakwa ia terlalu mahal. Apabila tender terbuka yang baharu cuba dikeluarkan, syarikat usaha sama Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), telah menyaman kerajaan.

“Kementerian Pengangkutan kemudian membuat pusingan U dan bersetuju membenarkan kontraktor sama meneruskan projek itu pada harga sama iaitu RM4,475 juta yang telah dirundingkan oleh kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, tiada rasa kesal atau sebarang penjelasan oleh Ka Siong mengenai dakwaan palsunya sebelum ini dan pembohongan bahawa tanda harga baharu RM4,475 juta masih terlalu mahal walaupun dengan pengurangan RM725 juta.

“Kepentingan awam dan ketelusan menuntut laporan perakaunan penuh bagi projek besar yang melibatkan berbilion ringgit.

“Kegagalan Ka Siong untuk membalas kenyataan Anthony Loke pada 8 Ogos menunjukkan kelakuannya yang tidak bertanggungjawab, tidak cekap dan tidak profesional serta tidak sesuai memegang jawatan Menteri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here