TIGA khemah peniaga di tapak Festival Kelantan 2022 yang melibatkan dua khemah pakaian dan satu makanan musnah dalam kejadian ribut malam tadi.
Ribut yang melanda hari pertama festival yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu menyebabkan mangsa kerugian keseluruhan lebih RM60,000.
Seorang peniaga, Nurul Shahira Shukry, 30, berkata, ribut melanda ketika dia sedang menyiapkan wafer pelanggannya.
“Ribut pertama yang datang menyebabkan khemah berkeluasan 6×6 meter persegi bergoyang sebelum disusuli ribut kedua yang membawa sekali pasir serta habuk menghempas khemah dan barangan perniagaan hingga musnah.
“Kami dan pelanggan kelam-kabut lari menyelamatkan diri ke bangunan berhampiran kerana bimbang tercedera,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, ribut berlaku selama kira-kira 10 minit diikuti hujan lebat yang mengakibatkan air turut bertakung di tapak jualan.
“Barangan jualan kami seperti lokcing dan tiga air balang jatuh manakala dapur wafer terbalik ke dalam air hujan yang bertakung.
“Dianggarkan kerugian saya sekitar RM10,000 termasuk bekalan telur dan tepung wafer rosak. Ini kerana, hari ini baru hari pertama berniaga dan sepatutnya bekalan berniaga itu untuk 10 hari,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga jersi, Ahmad Syazwan Aznee, 35, berkata, kejadian ribut berkenaan menyebabkan kerosakan barangan jualannya dengan kerugian dianggarkan hampir RM30,000.
“Semua jersi basah akibat terjatuh dan terkena air hujan selain ada yang terkoyak terkena besi khemah yang terbalik.
“Saya membersihkan baju-baju di kedai dobi layan diri dan hari ini (Jumaat) saya lelong semua jersi itu di tapak niaga di Medan Ilmu,” katanya.
Menurut Ahmad Syazwan, bayinya yang berusia 51 hari hampir tercedera kerana berada di bawah khemah ketika ribut berlaku sebelum diselamatkan oleh anak sulungnya yang berusia 10 tahun.
“Seorang lagi peniaga baju kanak-kanak berhampiran khemah saya juga mengalami kerugian lebih RM20,000 akibat baju basah dan terkena minyak masak yang tumpah dari khemah bersebelahannya,” katanya.
Para peniaga yang menyewa tapak perniagaan di festival itu dikenakan kadar sewa RM2,500 untuk 10 hari. – Malaysiapost

