PENAUNG dan Presiden Kuala Lumpur (KL) City FC, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan skuad warga kota itu kini layak digelar ‘King of Asean’.
Ia susulan kejayaan skuad bimbingan ketua jurulatih, Bojan Hodak menundukkan kelab Indonesia, PSM Makassar 5-2 untuk bergelar juara Zon Asean di pentas Piala AFC malam tadi.
“Alhamdulillah syukur dan sangat teruja melihat kemenangan KL City pada malam ini. Kemenangan yang cukup manis ini menabalkan skuad kendalian Bojan Hodak sebagai ‘King Of Asean!’.
“Saya yakin bahawa KL City FC yang terus layak ke final Antara Zon Piala AFC akan berusaha sehabis baik untuk memenangi perlawanan itu kelak. Sama-sama kita doakan, Insya Allah.
“Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah KL City FC! Anda adalah juara Asean!. Salam 5-2,” kongsinya menerusi hantaran di Facebooknya.
Pencapaian itu menyaksikan KL City FC menjadi pasukan pertama dari Malaysia memenangi final Zon Asean selepas pertandingan tersebut diformat semula pada edisi 2017.
Selepas ini, KL City FC sepatutnya bertemu kelab dari India, ATK Mohun Bagan di separuh akhir Antara Zon.
Namun penyertaan pasukan itu dibatalkan susulan penggantungan dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persekutuan Bola Sepak India (AIFF).
Jadi KL City FC boleh dianggap bertuah memandangkan mereka mungkin terus ke final Piala AFC Antara Zon untuk bertemu sama ada wakil Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh atau wakil Hong Kong, Eastern.
Untuk rekod, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, baru sahaja dilantik sebagai Penaung dan Presiden KL City FC dua hari lalu. – Malaysiapost

