HAMPIR 300 penyokong Datuk Seri Najib Razak berkumpul di hadapan Istana Negara hari ini memohon Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan diraja kepada bekas Perdana Menteri itu.
Penyerahan memorandum itu dianjurkan oleh Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, lapor Malaysiakini.
Permohonan itu dikemukakan susulan Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International.
Najib dipenjarakan selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.
Dalam masa sama, Gabungan Proreformasi Sistem Pilihan Raya Bersih memulakan petisyen atas talian memohon Yang di-Pertuan Agong tidak mengampunkan Najib.
“Rakyat sepenuh hati memohon limpah perkenan Tuanku untuk mempertimbangkan rayuan patik-patik sekalian agar sebarang permohonan ampun oleh Najib, yang telah memberi malu kepada negara ini.
“Sebagai negara, kita tidak boleh bertoleransi dengan korupsi walau siapapun pelakunya,” menurut teks petisyen itu. – Malaysiapost
Kredit foto: Malaysia Kini

