SELEPAS Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd (SRC), laman media sosialnya dihujani ucapan warga maya.
Semakan Malaysiapost di Facebook (FB) mendapati hantaran terakhir bekas Perdana Menteri itu mendapat lebih 169,000 reaksi dan dikongsi sebanyak 10,000 kali dan mendapat lebih 23,000 komen setakat jam 9.20 pagi tadi.
Rata-rata netizen menzahirkan rasa simpati terhadap Najib dan menjadikan kes tersebut sebagai pengajaran kepada pemimpin-pemimpin lain.
“Rasa simpati dan sedih saya dengan kejadian yang menimpa DS Najib, Berbanding kesilapan beliau, saya yakin jasa dan budi beliau cukup banyak,” kata Tun Faisal Ismail Aziz.
“Jika hukuman ini benar atas silap yang pernah DS lakukan, insya-Allah semua ini akan menjadi jalan untuk membersihkan dosa DS di sisi Tuhan. Terima kasih atas semua jasa yang pernah dicurahkan kepada Malaysia,” ujar Busseroa Abd Jalil.
Sementara itu, ada warga maya yang menyenaraikan jasa Perdana Menteri keenam itu yang telah mentadbir negara daripada 2009 sehingga 2018.
Kata Mohammad Muzani, dia sempat mendapat Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM), potongan 20 peratus bagi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Klinik 1 Malaysia, serta baucer buku bagi pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Terima kasih atas jasa DS Najib Razak yang saya sempat merasa,”ujarnya.
“Saya memilih untuk mengingati jasa DS kepada negara. Terima kasih atas segala jasa selama sembilan tahun menjadi PM,” Mizan Dzai.
“Semoga Allah SWT memberkati dan sentiasa melindungi DSN..Negarawan hebat!” kata Fadly Samsudin.
Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Najib atas tujuh pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.
Keputusan itu sekali gus menjadikan Najib sebagai bekas Perdana Menteri yang pertama di Malaysia yang dipenjarakan atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan.
Najib masih menghadapi empat lagi kes di mahkamah membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pindaan laporan audit 1MDB, pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pertuduhan pengubahan wang haram dana SRC berjumlah RM27 juta.
Bekas Perdana Menteri itu kini menjalani hukuman di Penjara Kajang yang berkuatkuasa semalam. – Malaysiapost





