JKN Kedah minta maaf isu tunda pembedahan

0
2

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah memohon maaf kepada seorang lelaki dan keluarganya berikutan penundaan pembedahan pesakit berkenaan sebanyak tiga kali di Hospital Kulim seperti yang tular di media sosial, semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo, berkata pihaknya mengakui kesulitan yang dihadapi oleh pesakit akibat penundaan pembedahan berkenaan.

Menurutnya, JKN Kedah dan Hospital Kulim sedang meneruskan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar insiden dan seterusnya mengambil tindakan penambahbaikan yang berkesan.

Beliau berkata, ia agar isu sama tidak berulang dan proses janji temu bagi pembedahan menjadi lebih cekap serta mesra pelangan.

“Merujuk kepada aduan melalui media sosial Facebook berkaitan penundaan pembedahan oleh pemilik akaun Shima Ismail, JKN Kedah telah melakukan siasatan segera.

“Siasatan awal mendapati, aduan ini adalah mengenai seorang pesakit lelaki yang mengalami masalah ketulan (lump) di bahagian bahu. Nama pesakit telah dimasukkan dalam senarai pembedahan elektif di Hospital Kulim, namun ditunda beberapa Kali bagi memberi laluan kepada kes-kes yang memerlukan pembedahan segera.

“Pihak pengurusan Hospital Kulim telah menghubungi pengadu melalui telefon dan menerangkan situasi sebenar. pihak pengadu telah menerima penjelasan dengan baik, seterusnya bersetuju memadam hantaran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Othman berkata Hospital Kulim adalah sebuah Hospital Pakar Bermajor yang mempunyai tiga Bilik bedah.

“Dalam tempoh pemulihan perkhidmatan sekarang, kes-kes yang memerlukan pembedahan segera dan kecemasan seperti berkaitan trauma, kanser dan pembedahan ‘Caesarean’, serta kes-kes yang tertangguh dalam tempoh pandemic lalu akan diberi keutamaan berbanding kes-kes lain,” katanya.

Sementara itu, Shima Ismail dalam hantaran terbarunya di Facebook memaklumkan aduannya itu sudah selesai dan mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital.

“Untuk hantaran saya pasal kes Hospital Kulim, kes selesai apabila Timbalan Pengarah hospital hubungi dan akan siasat kes ini. Terima kasih doktor kerana bertindak dengan cepat,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: NSTP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here