Hukuman Najib ditangguh sehingga rayuan

0
4

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya sehingga rayuan didengar dan diputuskan kelak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagaimanapun mengenakan syarat bahawa jumlah jaminan sebelum ini ditambah lagi RM1 juta dengan dua penjamin dan perlu dibayar esok.

Selian itu, bekas Perdana Menteri itu juga diarahkan melapor diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan perbuatan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa.

Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Najib didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Ketika hukuman dibacakan, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib dipenjarakan 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim turut memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun penjara dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan.

Walaupun hukuman penjara itu berjumlah 72 tahun, hakim bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V Sithambaram manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.