Ahmad Maslan nafi mesej tular desak PM bubar Parlimen

0
2

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan mesej tular mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak ketua cawangan mengusulkan kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen.

Beliau berkata, mesej itu adalah cubaan untuk melaga-lagakan perpaduan Umno dan menyifatkannya sebagai palsu.

“Itu mesej palsu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Terdahulu, tular mesej dalam bentuk poster antara lain menyatakan ketua cawangan Umno diminta Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengusulkan cadangan itu kepada Perdana Menteri.

Turut dinyatakan cadangan ketua cawangan itu akan diberikan kepada Ismail Sabri dan jika Perdana Menteri ingkar, Majlis Kerja Tertinggi akan memecatnya daripada parti.

Terdahulu, Ahmad Zahid memanggil semua ketua Umno bahagian hadir ke mesyuarat tergempar hari ini.

Media melaporkan, perjumpaan di Menara Dato Onn di ibu negara hari ini dijangka panas dengan agenda utama mengenai pembubaran Parlimen bagi memberi laluan mengadakan PRU15 dalam masa terdekat.

Menurut sumber dalaman Umno, kira-kira 150 daripada 191 Ketua Umno Bahagian dijangka hadir pada mesyuarat ‘pertemuan segera dan mustahak’ itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here