Keluarga Malaysia mendasari pengurusan ekonomi negara

0
2

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali

“KEPUTUSAN yang lepas dah di buat?”, itulah yang akan ditanya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setiap kali saya membentangkan status tindakan keputusan-keputusan Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) sebelum mesyuarat bermula.

“Tak ada guna kita bincang panjang dan buat keputusan kalau tiada tindakan?” Antara ‘pesanan dan mandat’ pertama yang saya terima sebagai Pengarah Eksekutif, Sektretariat Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), sekitar setahun yang lalu. Perkara yang sama akan diingatkan Perdana Menteri (PM) setiap kali saya bertemu beliau.

Memastikan keputusan dilaksanakan dengan pantas dan berkesan menepati hasrat semua pihak. Saya tidak boleh elak dari menyimpulkan perkara yang sama, ‘pelaksanaan’ adalah satu elemen utama yang menjadi cabaran bagi kerajaan hari ini.

Kepantasan, kecekapan dan kejayaan perkhidmatan awam melaksanakan keputusan-keputusan kerajaan dan pelbagai pelan dan hala tuju yang diumumkan semestinya menjadi satu kayu ukur prestasi yang penting.

Saya terlibat secara langsung dalam semua mesyuarat MTE yang dipengerusikan oleh PM sepanjang setahun yang lalu. Di mana Keluarga Malaysia dalam pengurusan ekonomi negara? Kata dikota?

Diawal kepimpinannya, PM telah membuat rombakan keahlian MTE menjadikan MTE lebih ‘majmuk’ merangkumi sektor korporat, dewan-dewan perniagaan Melayu, China dan India, wakil Sabah dan Sarawak, belia, wanita dan akademia.

Manifestasi mengotakan ‘Keluarga Malaysia’ dalam penilaian, pembuatan polisi ekonomi dan tindakan yang diperlukan. Ismail Sabri adalah PM yang mendengar – A listening leader. Pandangan dari pelbagai sektor adalah elemen yang penting dalam MTE.

Walaupun MTE merupakan sebuah majlis tertinggi ekonomi yang dipengerusikan oleh PM, kerangka MTE jelas berteraskan ‘Keluarga Malaysia’. Semua kertas-kertas yang dibincangkan oleh MTE disediakan dengan libat urus Keluarga Malaysia yang sangat intensif.

Datuk Seri Mustapa Mohamad, selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Sekretariat MTE akan terlebih dahulu melaksanakan sesi libat urus yang sangat intensif melibatkan pelbagai pemegang taruh yang berkaitan dengan tajuk kertas yang akan dibincangkan.

Secara berkala, di samping pertemuan khusus harian yang sangat padat, setiap dua minggu, Mustapa akan mengadakan pertemuan/webinar khas dengan ahli-ahli korporat, pakar-pakar ekonomi swasta, awam dan akademia bagi membincangkan topik khusus yang terkini.

Mendengar dari semua adalah ‘mesti’ di Sekretariat MTE. Terkini pada Jumaat yang lepas, Sektetariat MTE mengadakan webinar ‘Global Economic Outlook: Soft or Hard Landing?, menilai prestasi ekonomi global. Rumusan libat urus ini dilaporkan dalam MTE.

Penyediaan kertas MTE juga didahului dengan sesi libat urus yang sangat intensif-benar-benar Keluarga Malaysia. Bersama Kementerian/Agensi yang berkaitan, Sekretariat MTE akan mengadakan beberapa pusingan sesi libat urus dengan wakil-wakil pemegang taruh awam dan swasta. Berbincang dengan mendalam dan terbuka.

Saya mempengerusikan setiap sesi libat urus ini. Pandangan dan cadangan semua ahli ‘Keluarga Malaysia’ adalah amat bernilai dalam merangka kertas dan cadangan yang dikemukakan untuk pertimbangan MTE. Ringkasnya kertas MTE is ‘made in Putrajaya’ by ‘Keluarga Malaysia’.

Hampir semua kumpulan mewakili pelbagai sektor ekonomi negara telah dilibatkan; persatuan penjaja pasar malam, usahawan mikro-kecil-sederhana (PMKS), sektor korporat tempatan, NGO, persatuan artis dan seniman, petani, pelabur multinasional, nelayan laut dalam, pengusaha katering dan majlis, dewan perniagaan antarabangsa, industri automotif, pengusaha tadika, mangsa banjir, hampir semua ‘Keluarga Malaysia’.

Lebih dari itu, Mustapa dan Sekretariat MTE juga turun melihat dengan mata sendiri permasalahan dan cabaran yang dihadapi.

Antaranya, Sekretariat turun ke Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan Taman Sri Muda, Shah Alam bertemu mangsa banjir besar, melawat ke ladang pertanian moden di Mantin dan Seremban, dan Taman Pengeluaran Kekal Makanan Lancang, berkunjung ke Pelabuhan West Port menilai kesesakan pelabuhan, dan syarikat Multinational E&E di Pulau Pinang bagi memahami cabaran pelabur antarabangsa.

Hasil lawatan-lawatan ini dirumuskan dalam kertas MTE, kertas ‘Keluarga Malaysia’.

Yang lebih menarik, sejak Ismail Sabri menjadi PM, setiap kali sebelum MTE mula membincangkan kertas-kertas yang disediakan, 2-3 orang wakil sektor akan terlebih dahulu dijemput berkongsi pengalaman sebenar yang dihadapi-views from dengan ground! Mangsa banjir, petani moden, perusahaan kecil, pelabur, telah menyuarakan pandangan mereka di MTE. Membawa realiti ke MTE secara terus.

Saya memohon maaf, tidak dapat menerima jemputan untuk merumus setahun PM memimpin negara di PICC hari ini. Saya menziarahi ayahanda saya di kampung sebelum berangkat ke Amerika Syarikat sebagai Sarjana Fulbright selama enam bulan di Kennedy School, Harvard beberapa hari lagi. Misi saya-Memajukan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, untuk semua.

Setinggi tahniah Ismail Sabri, sempena setahun menerajui negara. Pada saya Keluarga Malaysia bukan hanya dibibir, slogan retorik PM. Ianya mendasari pengurusan ekonomi PM sejak setahun yang lalu. MTE adalah antara manifestasi pengurusan ekonomi Keluarga Malaysia. Kata dikota.

Terima kasih atas kepercayaan dan peluang untuk saya menyumbang untuk negara yang dicintai.

Penulis adalah Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here