SEORANG wanita rentung selepas kereta Perodua Kelisa dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah lori sebelum terbakar di Kilometer 85 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, Setiu, Terengganu, petang semalam.
Dalam kejadian 5.35 petang itu, Nurul Emylia Natasha Zulkifli, 20, ditemui rentung dibahagian tempat duduk penumpang hadapan, manakala pemandu Mohammad Ikhwan Hakim Daud, 21, terselamat dan mengalami kecederaan di bahagian leher.
Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin, berkata pemandu lori turut cedera manakala dua penumpangnya tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah lori jenis Isuzu dengan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa GX.
“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku semasa lori dipercayai cuba membelok ke kanan jalan dari arah Kuala Terengganu ke Kampung Raja di Besut, dan kereta kelisa dari arah yang sama cuba memotong namun gagal.
“Kereta berkenaan telah melanggar bahagian kanan lori dan akibat daripada kemalangan itu kedua-dua kenderaan telah terbakar.
“Kesemua mangsa kemalangan berjaya keluar kecuali seorang penumpang kereta Kelisa yang gagal keluar dari kenderaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Pauh Lima, Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

