KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesan seorang wanita dipercayai mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ianya memandangkan wanita tersebut menggunakan visa pelancongan bagi menunaikan umrah.
Ujarnya, Jakim akan terus bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana sehingga kini pihaknya belum mendapat maklumat lengkap sama ada wanita tersebut masih berada di Tanah Suci atau sudah pulang ke tanah air.
“Sekarang ini kita tidak tahu status sebenar wanita ini, ada kata dia tinggal di Perak dan ada pula kata dia duduk di Selangor.
“Kita kurang maklumat jadi kita akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk mengesan wanita ini,” katanya.
Idris berkata, usaha pengesanan menjadi sukar kerana wanita terbabit tidak menggunakan khidmat agensi sebaliknya secara sendiri selain tiada sebarang rekod jenayah untuk membolehkannya ditahan.
Sebelum ini, tular di laman Twitter seorang wanita berperwatakan lelaki atau ‘pengkid’ dipercayai melanggar hukum Islam mengerjakan umrah dengan memakai pakaian ihram.
Berdasarkan ciapan Aliya Manor, pengkid tersebut adalah teman lelakinya sebelum rahsia jantina wanita itu terbongkar.
Turut dimuat naik video berdurasi 15 saat memaparkan individu yang dikatakan pengkid itu merakam dirinya sedang memakai pakaian ihram dan berdiri berhampiran Kaabah. – Malaysiapost

