AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan keputusan Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengabaikan penyiasatan menyeluruh ‘due diligence’ yang sepatutnya dibuat kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sangat tidak amanah.
Beliau berkata, siasatan atau semakan perlu dilakukan untuk mengesahkan fakta atau butiran perkara yang sedang dipertimbangkan perlu dilakukan.
“Reputasi, kelemahan kewangan dan juga masalah-masalah lain BNS patutnya dah boleh di kenalpasti awal-awal dah sebelum kontrak diberikan.
“BNS dah lah pada masa tu menghadapi tuntutan mahkamah.
“MINDEF ambil remeh isu ini dan masih tak jalankan penyiasatan penuh kepada syarikat BNS. Cuai atau sengaja?,” soalnya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Syed Saddiq berkata, Kementerian Pertahanan juga tidak mengendahkan masalah kewangan kritikal yang boleh menjejaskan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS).
Ujarnya, lebih menghairankan lagi Kementerian Kewangan telah meluluskan wang pendahuluan projek berkenaan dan mendapat pengecualian jaminan bank.
“Daripada sini, kita dapat lihat BNS tiada pengurusan aliran tunai yang baik sampai nak mula projek pun tak cukup.
“Saya baca laporan pun dah tahu yang BNS tak cekap nak jalankan projek ini. Tetapi kenapa masih diberikan rundingan kontrak terus kepada mereka?
“Kompeten atau tak BNS untuk teruskan projek ini?,” soalnya lagi.
Kontroversi perolehan LCS oleh kerajaan kembali menjadi polemik susulan pembentangan laporan siasatan PAC di Parlimen dua minggu lalu, yang menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.
Laporan itu menjelaskan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek rundingan terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini. – Malaysiapost

