KERAJAAN komited dalam mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang penghujung tahun 2025 menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, BMTKM telah bermula pada akhir April lalu bagi Fasa 1 yang melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) secara rintis.
“Pelaksanaan BMTKM akan menggunakan pendekatan baru yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang dipengerusikannya dimaklumkan Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Tahun 2022 sehingga 15 Ogos lalu telah mencatat peningkatan sehingga 50.35 peratus berbanding 26.4 peratus pada 15 April tahun ini.
Katanya, jawatankuasa berkenaan dan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) akan terus meneliti isu dan cabaran semasa bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dalam tempoh RMK-12, demi manfaat kepada Keluarga Malaysia.
“Mesyuarat turut bersetuju supaya Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) menyediakan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 bagi meneliti dan menyemak semula dasar dan sasaran sedia ada agar matlamat pembangunan yang disasarkan dapat dicapai. Proses ini akan bermula pada September 2022 hingga September 2023.
“Selaras dengan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan pada tahun 2025, mesyuarat bersetuju untuk membuat pemantauan rapi dan berterusan ke atas pencapaian indikator utama dan memastikan pelaksanaan intervensi yang perlu ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia,
“…konflik geopolitik yang mempengaruhi kenaikan inflasi serta perubahan struktur ekonomi negara yang perlahan,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia telah menjadi negara menua (ageing nation) pada tahun 2021 dan dijangka menjadi negara tua (aged nation) pada tahun 2044.
“Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju dengan mekanisme mengarus perdana agenda negara menua dan penyediaan satu blueprint Agenda Negara Menua (ANM) yang akan diselaraskan oleh EPU, JPM,” katanya. – Malaysiapost

