5 pemancing bertarung nyawa 15 jam terkandas di Pulau Batu diselamatkan

0
2

LIMA pemancing yang bertarung nyawa selama kira-kira 15 jam dengan berpaut di tebing batu Pulau Batu Berantai selepas terkandas akibat cuaca buruk kira-kira 1.4 batu nautika barat laut Pantai Remis, Jeram, Selangor berjaya diselamatkan hari ini.

Mangsa Mohd Yazid Basir, 37; Zamri Romli, 39; Mohd Razwan Hussin, 48; Hamidi Rohani, 70, dan Tohid Sangon, 65, diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada jam 10.20 pagi tadi.

Ketua SUMS Kepten Maritim Syed Islam Shahajam, berkata diselamatkan menggunakan pesawat AW139 diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi sebagai Komander Pesawat bersama pembantu juruterbang, Leftenan komander Maritim Azizi bin Zalkepeli dan tiga lagi kru pesawat termasuk perenang penyelamat.

Menurutnya, terdahulu pesawat berkenaan berlepas dari SUMS pada jam 9.30 pagi menuju ke perairan Kapar, Klang bagi melakukan rutin latihan penerbangan termasuk latihan ‘winching’ sebelum menjumpai sekumpulan pemancing tersebut.

“Keputusan pantas untuk menyelamatkan lima pemancing itu dibuat oleh juruterbang sebaik sahaja menyedari lambaian meminta tolong, serta keadaan laut bergelora di kawasan itu boleh merisikokan nyawa pemancing sekiranya mereka hanyut kerana tidak memakai jaket keselamatan.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh ‘rescue swimmer’ Maritim Malaysia yang membawa mereka naik ke atas pesawat menggunakan teknik ‘winching’ dengan memindahkan mangsa menggunakan tali sekitar jam 10.25 pagi,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas dipindahkan ke pesawat, kesemua pemancing segera diterbangkan ke SUMS untuk mendapatkan rawatan kerana mangsa dalam keadaan lemah dan masih trauma.

“Menurut salah seorang mangsa, Mohd Razwan bin Hussin, mereka bertiga yang berasal dari Tanjung Karang dihantar menaiki sebuah bot ke Pulau Batu Berantai pada jam 7.20 petang semalam, dan sepatutnya pulang pada pagi tadi.

“Namun sekitar jam 8.30 pagi, bot itu tiba dan menurunkan dua lagi pemancing dari Jeram di lokasi kejadian kerana mempunyai urusan lain di Pulau Angsa.

“Setelah itu, bot itu akhirnya tidak muncul dan dipercayai terkandas akibat cuaca buruk sebelum mereka melihat helikopter Maritim Malaysia berlegar di kawasan perairan tersebut lalu mereka melambaikan tangan meminta pertolongan,” katanya.

Razwan berkata, mangsa tidak dapat menghubungi sesiapa bagi meminta pertolongan kerana barang-barang peribadi mangsa seperti telefon bimbit dan peralatan seperti jaket keselamatan dan perkakas memancing dihanyutkan ombak dan arus laut.

Menurutnya, sejurus mangsa tiba di SUMS, mereka diberikan rawatan awal oleh pengamal perubatan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Hospital Klang dengan menaiki ambulans.

“Maritim Malaysia menasihatkan, agar pemancing yang ingin ke laut perlu melakukan persiapan sewajarnya selain mengambil langkah berwaspada dan merancang lebih awal aktiviti yang hendak dilakukan.

“Selain mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku ini, agar tragedi sama tidak berulang lagi.

“Komuniti pemancing juga diingatkan, segera hubungi talian kecemasan MERS 999 dan memiliki peranti kecemasan peribadi ‘Personal Locator Beacon’ (PLB) yang memudahkan kedudukan mereka dikesan pasukan penyelamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here